MOT Mahu Penjelasan Grab Mengenai Penurunan Kadar Upah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) menuntut penjelasan daripada Grab berikutan dakwaan syarikat tersebut menurunkan kadar asas upah, yang telah menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan ‘rider’.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan mengenai memorandum yang diterima oleh wakilnya semalam.

Memorandum tersebut akan dikaji dan dibincangkan dengan kementerian-kementerian lain yang terlibat.

“Kita juga akan meminta Grab untuk memberi penjelasan,” katanya dalam satu sidang media selepas memantau pembukaan semula Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya pagi tadi.

 

Semalam, sekitar 50 ‘rider’ menyerahkan memorandum mengenai penurunan kadar asas upah yang berlaku sejak sebulan lalu. Penurunan ini dikatakan memberi kesan besar terhadap pendapatan harian mereka akibat kenaikan kos sara hidup dan ketidakstabilan ekonomi.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan, Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

 

Menurut wakil pekerja p-hailing, Mohd Adie Ali Nafiah, yang ditemui semalam, pengumuman syarikat yang menurunkan kadar upah sehingga RM1 dianggap tidak setimpal dengan masa, tenaga, dan risiko yang diambil oleh para ‘rider’.

Mohd Adie menyatakan bahawa pendapatan bulanan mereka turut terjejas sehingga RM1,000 akibat keputusan syarikat tersebut.

Sebelum ini, kadar upah asas bagi jarak dua kilometer (km) ke bawah adalah RM5, namun sejak sebulan lalu, kadar tersebut diturunkan kepada RM4 hingga RM4.50.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden nahas pesawat ringan model BK160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Loke berkata bahawa sebarang kenyataan berkaitan insiden itu akan dikeluarkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

“Siasatan akan dilakukan oleh BSKU dan sebarang kenyataan berkaitan fakta juga akan dikeluarkan oleh BSKU,” katanya.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *