TPAD menggesa penghapusan sistem auto-accept dalam perkhidmatan E-hailing.

Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) menggesa supaya sistem auto-accept (terima secara automatik) dalam perkhidmatan e-hailing dimansuhkan kerana ia menyebabkan kerugian kepada pemandu.

Presiden TPAD, M. Nathan, menjelaskan bahawa sistem ini menghalang kebebasan pemandu e-hailing untuk memilih perjalanan yang sesuai dengan keperluan serta keselesaan mereka.

“Ia merupakan satu beban kepada pemandu dan boleh digantikan dengan alternatif lain yang lebih fleksibel, seperti inisiatif ‘complete job and earn RM’ (selesaikan tugasan dan peroleh bayaran).

“Fungsi terimaan manual (manual accept) juga perlu dilaksanakan tanpa sebarang syarat. Jika sistem baharu diperkenalkan, ia harus memberi pilihan kepada pemandu untuk menggunakan sama ada mod manual atau auto-accept,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum tuntutan mengenai isu e-hailing dan p-hailing kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) di Putrajaya, hari ini.

 

Sebelum itu, Nathan bersama anggota TPAD yang lain mengadakan perbincangan selama hampir dua jam dengan Ketua Setiausaha MOT, Jana Santhiran Muniayan, serta wakil Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di ibu pejabat MOT.

Menurut Nathan, isu auto-accept merupakan salah satu daripada 21 tuntutan utama TPAD yang berkaitan dengan amalan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing, yang dilihat membebankan pemandu gig di Malaysia dari pelbagai aspek.

TPAD turut menuntut supaya perlindungan insurans diperluaskan kepada pemandu gig sepanjang masa, bukan hanya ketika mereka menjalankan tugasan. Perlindungan ini juga perlu merangkumi pihak ketiga yang terlibat dalam kemalangan yang disebabkan oleh pemandu atau penghantar.

“Selain itu, TPAD mencadangkan supaya perkhidmatan e-hailing dan p-hailing memperkenalkan zon amaran bahaya secara automatik dalam aplikasi Google Maps dan Waze dengan sistem amaran pintar. Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan risiko perjalanan serta meningkatkan keselamatan pemandu dan penumpang,” katanya.

 

“Apa yang diperjuangkan oleh TPAD bukan sahaja memberi manfaat kepada pemandu gig, tetapi juga kepada penumpang. Kami turut mencadangkan pemasangan kamera papan pemuka (dash cam) dengan perakam suara.

“Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini dan pihak berkuasa memerlukan bukti tambahan, rakaman ini akan sangat membantu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai hasil perbincangan, Nathan menyatakan bahawa MOT telah memberi jaminan untuk memberikan maklum balas mengenai tuntutan tersebut dalam tempoh dua minggu, selepas mendapatkan pandangan daripada pengendali perkhidmatan e-hailing dan p-hailing.

Selaras dengan keputusan itu, Nathan mengumumkan bahawa perhimpunan aman berkaitan tuntutan TPAD yang dijadualkan berlangsung di pekarangan MOT esok dibatalkan serta-merta.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *