Grab Malaysia tingkatkan GrabBenefits 2.0 demi kebajikan rakan pemandu dan penghantar

Grab Malaysia menegaskan komitmennya terhadap kebajikan rakan pemandu dan rakan penghantar dengan mengumumkan penambahbaikan penting dalam program GrabBenefits 2.0, yang melibatkan pelaburan melebihi RM10 juta.

Dilancarkan pada 2017, program ini telah diperluas daripada tiga kepada lima tonggak utama bagi menyediakan sistem sokongan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

Menurut Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo, GrabBenefits 2.0 bertujuan memastikan kebajikan rakan pemandu dan penghantar terjamin ketika mereka berusaha menjana pendapatan melalui platform Grab.

“Penambahbaikan ini dibuat bagi menyatukan semua inisiatif di bawah satu pengurusan. Kami akan memperuntukkan lebih RM10 juta untuk program ini pada tahun ini,” katanya semasa pelancaran GrabBenefits 2.0 pada Rabu lalu.

Beliau menambah bahawa manfaat yang ditingkatkan ini dirangka berdasarkan maklum balas daripada rakan pemandu dan penghantar Grab.

Program GrabBenefits kini menggabungkan penyelesaian kewangan sedia ada serta inisiatif komuniti secara strategik, mencerminkan komitmen Grab dalam menyokong rakan mereka lebih daripada sekadar peluang menjana pendapatan.

5 tonggak utama dalam program GrabBenefits 2.0 adalah:

  1. Insurans, Takaful & Perlindungan Sosial

    • Menyediakan perlindungan kepada rakan pemandu dan penghantar, sama ada di jalan raya atau luar tugas. Inisiatif ini merangkumi perlindungan PERKESO, fasilitasi sumbangan zakat serta bantuan banjir.
  2. Tawaran Harian

    • Menawarkan baucar tunai, diskaun untuk penyelenggaraan kenderaan, serta pelbagai promosi gaya hidup bagi membantu meringankan kos perbelanjaan harian.
  3. Akademi

    • Memberikan latihan keselamatan, kursus peningkatan dan latihan semula kemahiran, program biasiswa, serta bimbingan literasi kewangan kepada rakan pemandu dan penghantar.
  4. Penyelesaian Kewangan Gig

    • Menyediakan pilihan pembayaran fleksibel, akses kepada penyelesaian kewangan yang lebih berpatutan, serta pembiayaan Umrah bagi rakan yang berminat.
  5. Komuniti

    • Menjadikan Grab Driver Centres (GDC) sebagai hab komuniti, membina dan menyokong komuniti seperti Rakan Wanita dan OKU, serta mengadakan pelbagai program dan acara lapangan untuk rakan penghantar dan pemandu.

Inisiatif Utama 2025:

  1. Meneruskan fasilitasi dan penajaan separa bagi program PERKESO SPS Gig.
  2. Menyediakan lebih banyak peluang peningkatan kemahiran menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan serta institusi pendidikan.
  3. Menjadikan Grab Driver Centres sebagai pusat latihan dan hab komuniti.
  4. Menawarkan sokongan khas kepada Rakan Grab wanita dan golongan OKU.

 

 

Pengumuman GrabBenefits 2.0 diadakan bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa, di mana lebih 120 rakan pemandu dan penghantar wanita Grab berpeluang menikmati sesi rundingan kecergasan dan kesejahteraan wanita secara percuma. Sesi ini disediakan dengan kerjasama beberapa rakan korporat Grab, termasuk Curves, Audiolab, dan Joliewen.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang menyatakan penghargaan terhadap inisiatif Grab Malaysia dalam memperkasakan wanita di platform mereka.

“Grab terus memperkukuh sokongannya dengan meningkatkan langkah keselamatan, membina komuniti yang saling menyokong, serta membuka lebih banyak peluang untuk wanita maju dalam ekonomi gig.

“Saya juga berbesar hati melihat pelaburan berterusan Grab dalam program GrabBenefits, yang kini diperluaskan dengan tonggak baharu bagi menyediakan sokongan lebih menyeluruh kepada semua Rakan Grab.

“Komitmen yang berterusan ini menjadi contoh terbaik bagaimana platform digital boleh memainkan peranan penting dalam memajukan keterangkuman,” katanya.

Program #SisBoleh yang diperkenalkan oleh Grab Malaysia telah menunjukkan kejayaan besar, dengan peningkatan sebanyak 70 peratus dalam jumlah rakan pemandu dan penghantar wanita yang aktif sejak pelancarannya pada Mac 2023.

Perkembangan positif ini membuktikan keberkesanan program tersebut dalam tiga tonggak utama—Keselamatan, Penyertaan dan Latihan, serta Komuniti—sekali gus mencerminkan komitmen teguh Grab terhadap kesaksamaan gender dan pemerkasaan ekonomi wanita.

Menurut Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo, langkah keselamatan yang diperkenalkan, seperti ciri ‘Women Passengers Preferred BETA’ dan Audio Protect, telah mendapat sambutan baik dengan kadar penyertaan mencecah 70 peratus.

Selain itu, penyediaan latihan khas yang menekankan literasi kewangan serta pertahanan diri turut memberikan sokongan praktikal kepada Rakan Grab wanita, seterusnya mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan kukuh.

“Memandangkan industri terus berkembang, ini adalah masa yang sesuai untuk kami memperbaharui program agar faedah yang ditawarkan kepada komuniti Rakan Grab kekal relevan dan bermakna.

“Kami berharap penambahbaikan ini akan memberikan pakej sokongan yang lebih menyeluruh, merangkumi keperluan jangka pendek dan jangka panjang mereka,” ujar Adelene.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *